Wednesday, May 11, 2011

HIDUP INI IBARAT RODA

Hidup ini ibarat seperti roda. Bukan sahaja kita berada di atas atau di bawah malah ada sesuatu dibahagian tengah yang lopong perlu diisi dan dipadatkan lagi. Jika bahagian lopong ini kosong maka tidak kukuhlah pembuatan sesuatu roda itu.

Sama juga dalam kehidupan kita seharian. Hari ini kita gembira esok mungkin kita sedih dan tulat kita tak tahu sama ada masa depan kita cerah atau malap. Begitulah seterusnya silih berganti.

Begitu juga dengan percintaan. Kita sering merasa bahawa cinta itu segala-galanya. Tak boleh hidup tanpa cinta. Cinta yang hadir digarap dan dipegang dengan begitu kukuh. Ibarat dunia ini milik kita seorang. Tetapi kita tak pernah fikir adakah cinta ini berpanjangan atau sebaliknya.

Kalau ikut dari segi pemikiran yang waras, sudah tentu cinta seseorang itu dipegang dalam keadaan berpada-pada dan tidak bertindak melulu atau terlalu mengikut perasaan. Tetapi, berlainan pula cinta tanpa pemikiran yang waras. Manusia sanggup berkorban apa sahaja demi cinta semata-mata untuk mendapatkan cinta sejati yang kononnya kekal abadi. Manusia silap! Cinta bukanlah segala-galanya tetapi dalam dunia percintaan ini sebenarnya banyak mengajar kita erti kehidupan.

Seperti yang berlaku pada aku sekarang ini. Sampai bila aku harus berada dalam dunia fantasi dan sampai bila aku harus mengaharap pada sesuatu yang tak pasti. Aku akur bahawa alam percintaan ini memang indah tetapi ianya tak kekal lama tanpa ada pertalian yang sah. Yang kekal adalah dosa yang semakin lama semakin bertambah bukan semakin berkurangan. Manusia sering silap dalam menafsir erti cinta. Cinta sejati itu tak akan wujud tanpa adanya ikatan yang sah dan direstui oleh ibu bapa malah mampukah kita meneruskan kehidupan dengan alam percintaan yang tanpa redha dari Ilahi? Mampukah kita?

Itulah antara kesilapan yang pernah aku lakukan. Sekarang ini segalanya telah berakhir dengan cara yang baik. Aku sendiri minta agar perhubungan ini tidak terikat dengan percintaan yang tak pasti biarlah ianya hanya menjadi talian perhubungan antara manusia dengan manusia seperti biasa. Bagiku tiada apa yang indah dalam dunia percintaan sebelum berkahwin. Tiada apa yang kita dapat dalam hubungan seperti ini. Apa yang kita dapat hanyalah tekanan akibat dari menanggung beban yang tak pernah berkurangan. Hari-hari asyik memikirkan persolan yang sukar dicari jawapannya. Antaranya, bila boleh berkahwin? Sampai bila hubungan seperti ini akan terjalin? Bagaimana dengan maruah keluarga? Sanggupkah kita menanggung dan mengumpul dosa? Makin hari dosa makin bertambah bukan makin berkurangan!

Setelah difikir sejenak, yakinlah aku bahawa percintaan yang paling indah antara manusia dengan manusia yang berlainan jantina adalah percintaan selepas terjalinnya hubungan yang sah yang sekaligus mendapat restu dari kedua-dua belah pihak. Hubungan yang diredhai oleh Allah adalah sesuatu hubungan yang paling indah. Inilah dia ertinya cinta yang telah diterapkan oleh nenek moyang kita. Bahawasanya pertalian yang indah adalah pertalian yang mendapat restu dari keluarga dan sebab itulah orang-orang lama menentukan jodoh anak mereka sendiri demi menjaga maruah dan martabat keluarga agar tiada umpatan yang menconteng arang di muka mereka.

Sememangnya setiap apa yang berlaku pada diriku ini ada banyak hikmahnya. Antaranya aku dapat berfikir dengan lebih rasional, berfikiran lebih matang dan pada masa yang sama aku mula mengambil berat tentang isu perkahwinan yang sebelum ini tiada aku hiraukan dan mengambil mudah.

Aku bersyukur ke hadrat Ilahi kerana memberi aku peluang untuk menilai tantang sesuatu hubungan agar tidak bertindak mengikut perasaan yang akhirnya memakan dan menyeksa diri sendiri. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancer dan aku mengucapkan berbanyak terima kasih kerana aku ditemukan dengan seseorang yang penyabar, memahami dan boleh bertolak ansur dalam semua situasi. Syukur Alhamdulillah.

Inilah satu-satunya hubungan yang aku rasakan hubungan yang sangat istimewa. Amat sukar untuk aku bertemu dengan seorang lelaki yang begitu hormat dan mudah menerima pendapat dari seorang gadis seperti aku. Pada mulanya, aku bimbang juga untuk mengutarakan pendapat seperti ini ibaratkan seperti bom yang tetiba terlepas dari langit dan boleh mengakibatkan ledakan yang amat kuat. Sangkaanku ini benar-benar meleset. Tiada kusangka pendapatku ini dapat diterima seperti air yang mengalir dengan tenang. Sekalung doa kupanjatkan pada Ilahi agar diri ini tenang dan sabar dalam menempuh dugaan yang melanda dan siapa sangka akhirnya berhasil jua.

Kini semakin tenang kuharungi kehidupan ini tanpa sebarang ikatan yang terjalin. Pada masa yang sama dapatlah aku merehatkan mindaku dari berfikir tentang perkara-perkara yang tak pasti seperti ini. Aku berdoa agar dapatlah aku jalani kehidupan ini seperti roda yang kukuh dan berjalan dengan baik sekali. InsyaAllah........

Coretan dari Nurulhuda Mohamad Kamil

11 Mei 2011

Hari Rabu

11:58 Malam

No comments:

Post a Comment